Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
Sudah tiba masanya penilaian diri dilakukan untuk mengetahui setakat mana pelajar telah melaksanakan tangungjawab pada diri masing-masing dalam membuat persediaan bagi memenuhi keperluan negara dengan mengambil kira perkembangan semasa. Walaupun bilangan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan begitu juga kelulusan daripada luar negara, kita harus melihatnya sebagai satu perkembangan yang sihat. Dengan menyedari hal ini, setiap institut pengajian tinggi seharusnya sentiasa mengawal dan memantau mutu program perakaunan khususnya yang ditawarkan institut masing-masing. Hal ini agar ianya sejajar dengan tahap pengiktirafan yang telah ditetapkan oleh profesion perakaunan sama ada di peringkat kebagsaan mahupun antarabangsa.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama merenung beberapa isu semasa yang dianggap penting kerana ianya mempunyai kesan langsung dan tidak langsung kepada pelajar perakaunan dalam melengkapkan diri menghadapi hari-hari mendatang.
Pengiktirafan Badan Berkanun
Sebagaimana yang kita ketahui umum, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari beberapa institut pengajian tinggi tempatan telah menerima pengiktirafan penuh dari Institut Akauntan Negara (MIA). Ini bermakna, graduan lepasan universiti tersebut layak memohon menjadi ahli MIA setelah mempunyai pengalaman kerja selama 3 tahun. Keahlian ini adalah perlu bagi menjadi seorang akauntan. Pengiktirafan ini akan diberikan setelah MIA menilai kurikulum yang ditawarkan oleh universiti tersebut dan tenaga pengajarnya di samping penampilan yang ditunjukkan oleh para graduan yang dihasilkan.
Dengan pengiktirafan yang diberikan MIA ini, pelajar tidak seharusnya selesa sehingga lupa tanggungjawab yang terpaksa digalas bagi mengekalkan kedudukan tersebut. Seperti yang termaktub dalam akta, MIA telah membuat usul di mana mereka berhak menarik semula pengiktirafan yang telah diberikan sekiranya graduan tidak berjaya menampilkan prestasi yang boleh dipertahankan. Tetapi, usaha ini tidak dapat diteruskan.
Graduan perlu sentiasa diingatkan bahawa pihak MIA sentiasa memantau dengan menilai prestasi graduan samada mencapai tahap yang diharapkan mahupun tidak. Prestasi graduan sebenarnya mencerminkan kewibawaan program perakaunan yang dilalui oleh para graduan tersebut. Para pelajar dan graduan harus menyedari bahawa program perakaunan ini adalah program yang bertaraf profesional di mana pengiktirafannya tertakluk pada penerimaan badan profesional.
Kekurangan Bilangan Akauntan
Sebagaimana yang telah dinyatakan, terdapat beberapa institut pengajian tinggi yang mendapat pengiktirafan terus daripada MIA. Ini bermakna, bilangan akauntan dalam negara ini boleh ditingkatkan sekiranya bilangan graduan perakaunan meningkat. Namun demikian, kekurangan bilangan akauntan di negara ini masih terus wujud.
Persoalannya, siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan atas perkara ini? Sebenarnya, jambatan yang menghubungkan antara kelayakan perakaunan institut pengajian tinggi dengan profesion perakaunan telah pun dibina. Para graduan boleh melaluinya untuk sampai kepada matlamat sebagai seorang akauntan. Nmaun, statistik yang ada jelas menunjukkan sambutan graduan perakaunan terhadap pelunang ini masih dingin. Sekiranya pelajar masih enggan melihat hal ini sebagai cabaran yang perlu mereka gerap, keadaan ini akan menjadi semakin buruk. Ini bermakna, hasrat dan usaha universiti bagi melahirkan akauntan yang mencukupi dan berkaliber akan gagal dengan jayanya.
Cabaran Globalisasi
Selaras dengan perkembangan semasa yang semakin kompleks, graduan perakaunan akan berhadapan dengan persekitaran yang terdedah dengan perkembangan yang pesat baik dalam teknologi komunikasi maklumat mahupun perdagangan tanpa sempadan. Keadaan ini secara tidak langsung memberikan kesan terhadap profesion perakaunan. Ini bermakna, para akauntan perlu dilengkapkan dan dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran teknologi, komunikasi, pengurusan dan etika mulia serta jati diri yang tinggi. Kebolehan akauntan menjalin hubungan antara manusia dengan penuh keyakinan merupakan senjata utama mereka untuk berjaya.
Terdapat banyak pihak yang bertanggungjawab bagi membantu pelajar membuat persediaan untuk menghadapi dunia kerjaya ini. Walaupun mendapat banyak bantuan, tetapi akhirnya pelajar itu sendiri yang akan menempuh dan bertanggungjawab kepada diri mereka untuk menentukan kejayaan seterusnya. Kita tidak boleh menahan pembangunan dunia yang sedang berlaku dengan pesat ini. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menyediakan diri untuk mengambil bahagian dalam perkembangan tersebut. Kita perlu membina ketahanan yang baik dan utuh dari segi kekuantan mental dan fizikal, kekukuhan ilmu dan kemurniaan jiwa.
Saingan dari Kelayakan Luar Negara
Graduan bukan sahaja perlu bersaing sesama sendiri bahkan dengan para graduan daripada institut pengajian tinggi tempatan juga graduan badan profesional tempatan. Bukan itu sahaja, mereka ini juga perlu bersaing dengan graduan universiti dan badan profesional daripada luar negara. Satu aspek yang dikatakan graduan luar negara ini melebihi graduan tempatan adalah kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
Kesimpulannya, di samping mengekalkan kedudukan yang telah ada, kita masih perlu memperbaiki diri. Letakkan matlamat mengikut perspektif yang betul. Dengan menyedari hakikat ini, pelajar seharusnya membentuk diri dari sekarang untuk mempuyai sifat sebagai seorang akauntan yang sebenar. Pelajar perlu bersifat jujur dan ikhlas terhadap diri sendiri. Sebagai bakal akauntan, pelajar tidak seharusnya bersifat lemah dan mudah menyerah serta mengalah. Iltizam yang dipupuk untuk disumbangkan kepada negara dalam bidang kepakaran masing-masing merupakan amal yang paling agung dalam usaha memartabatkan bangsa dan agama.
No comments:
Post a Comment