Wednesday, September 16

Apakah itu PERAKAUNAN ?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Perakaunan adalah aktiviti penyampaian maklumat kewangan sesebuah entiti perniagaan kepada pengguna berkepentingan seperti pemegang saham dan pengurus. Umumnya, aktiviti ini dipersembahkan melalui penyata kewangan yang memperincikan sumber-sumber ekonomi dalam unit mata wang yang berada di bawah kawalan pengurusan. Perakaunan merupakan salah satu cabang Sains Matematik di mana ianya mencari punca kejayaan dan kegagalan sesebuah entiti perniagaan.

Perakaunan atau lebih dikenali sebagai Prinsip Akaun di sekolah merupakan proses pengukuran, pendedahan dan peruntukan kepastian maklumat bagi membantu pihak pengurusan sesebuah perniagaan membuat keputusan yang perlu diambil dalam perniagaan mereka terutamanya dari segi peruntukan sumber. Khususnya, perakaunan terbahagi kepada dua cabang asas iaitu Perakaunan Kewangan dan Perakaunan Pengurusan. Perakaunan kewangan melibatkan proses-proses di mana maklumat kewangan sesuatu perniagaan direkod, dikelas, dirumus, ditafsir dan dihubungkan.

Pengamal perakaunan dikenali sebagai AKAUNTAN. Akauntan yang dilesenkan secara rasmi boleh dikenalpasti melalui gelaran-gelaran seperti Chartered Accountant, Certified Public Accountant, Certified Management Accountant, Certified General Accountant dan Certified Practicing Accountant. Gelaran ini adalah berbeza mengikut negara. Di Malaysia, badan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal akauntan adalah Institut Akauntan Negara (MIA - Malaysian Institute of Accountant). Manakala, badan yang menetapkan prinsip-prinsip perakaunan pula adalah Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB - Malaysian Accounting Standards Board).

Tujuan perakaunan diwujudkan adalah untuk memastikan ketepatan kewangan yang berguna untuk pengurus, penguatkuasa korporat dan pemegang-pemegang berkepentingan yang lain. Penyimpanan rekod harian yang terlibat dalam proses ini dikenali sebagai simpan kira. Sistem catatan bergu merupakan unsur terpenting bagi perakaunan kewangan moden. Sistem ini melibatkan kemasukan sekurang-kurangnya dua catatan bagi setiap transaksi yang dibuat dalam aliran perniagaan. Jumlah kesemua catatan debit mestilah sentiasa menyamai jumlah kesemua catatan kredit. Ini adalah bagi memudahkan penyemakan kesilapan dalam akaun.

No comments:

Post a Comment