Wednesday, September 23

Syoknya Perakaunan - Konsep Perakaunan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Konsep dan prinsip perakaunan asas merupakan panduan dalam catatat perakaunan yang telah ditetapkan oleh badan-badan perakaunan. Ia patut dipatuhi semasa proses perakaunan dijalankan bagi memastikan penyata kewangan yang dihasilkan adalah saksama dan mengikut piawaian. Antara konsep perakaunan yang dipelajari adalah seperti :

Wang sebagai Ukuran
  • Merupakan unit ukuran dalam urusniaga perniagaan
  • Dengan merekodkan urusniaga dalan nilai mata wang, ia dapat memudahkan penghitungan nilai urus niaga.
  • Contoh : Beli 100 buah beg bernilai RM 300 dicatatkan sebagai belian.


Prinsip Catatan Bergu
  • Setiap urusniaga harus direkodkan sekurang-kurangnya dua kali dalam akaun yang berasingan di mana satu akaun akan didebitkan manakala satu akaun lagi akan dikreditkan.
  • Jumlah nilai yang didebitkan perlu sama dengan nilai yang dikreditkan. Ini membolehkan kita menyemak ketepatan merekod.
  • Contoh : Jualan barang niaga dengan harga RM 500 secara tunai. Transaksi ini melibatkan akaun jualan dikreditkan sebanyak RM 500 manakala akaun tunai didebitkan sebanyak RM 500.


Entiti Berasingan
  • Dalam perakaunan, pemilik perniagaan dan perniagaan dianggap sebagai sebuah entiti berasingan. Ini bermaksud, hanya urusniaga yang berkaitan dengan perniagaan sahaja direkodkan dalam buku perniagaan.
  • Urusniaga peribadi pemilik tidak boleh direkodkan di dalam buku perniagaan.
  • Contoh : Pemilik mengeluarkan wang tunai sebanyak RM 200 untuk membayar yuran peperiksaan dianggap sebagai ambilan dan tidak boleh dianggap sebagai belanja perniagaan.


Tempoh Perniagaan
  • Sesebuah perniagaan diandaikan akan beroperasi secara berterusan untuk suatu jangka masa yang panjang.
  • Untuk membolehkan laporan prestasi perniagaan dibuat dan dibandingkan, hayat perniagaan biasanya akan dibahagikan kepada jagka masa tertentu yang dikenali sebagai tempoh perakaunan.
  • Contoh : Jika tempoh perakaunan sesebuah perniagaan adalah selama setahun dan ia berluma pada 1 Januari maka ia akan berakhir pada 31 Disember.


Kos Sejarah
  • Menurut konsep ini, semua urusniaga harus direkod mengikut harga belian atau kos belian.
  • Amaun tersebut akan direkodkan dalam buku perakaunan walaupun berlaku turun naik harga di pasaran bagi barangan tersebut.
  • Kos belian merupakan satu nilai yang objektif kerana harga tersebut terbukti dalam dokumen perniagaan.
  • Contoh : Sebuah pernigaa membeli sebuah kenderaan denga  harga RM 25,000 pada tahun 2003. Walaupun nilainya telah jatuh mejadi RM 24,000 pada tahun 2004, ia masih dicatat sebagai RM 25,000 dalam buku perakaunan.


Berterusan
  • Perniagaan diandaikan akan beroperasi secara berterusan untuk suatu jangka masa yang panjang.
  • Konsep ini berkaitan dengan kos sejarah iaitu dengan andaian semua aset perniagaan harus direkod pada harga belian atau kos sejarah.


Pemadanan
  • Hasil bagi suatu tempoh perakaunan harus dipadankan dengan perbelanjaan bagi tempoh tersebut untuk mendapat untung atau rugi bersih bagi tempoh berkenaan.
  • Untung atau rugi sesebuah perniagaan tidak boleh dikira berdasarkan penerimaan atau pembayaran dalam satu tempoh masa.
  • Pendapatan bagi satu tempoh perakaunan adalah wang yang sepatutnya diterima bagi tempoh tersebut. Tidak kira samada sudah diterima mahupun tidak.
  • Begitu juga dengan perbelanjaan . Ia merupakan wang yang sepatutnya dibayar bagi tempoh tersebut di mana samada sudah dibayar mahupun tidak.
  • Contoh : Premium insurans perniagaan adalah sebanyak RM 500 setahun tetapi jumlah premium yang sudah dibayar bagi satu tahun adalah RM 400 dan RM 100 akan dibayar pada tahun berikutnya. Jumlah yang sebenarnya ditolak daripada untung kasar adalah sebanyak RM 500 iaitu jumlah yang sepatutnya dibayar pada tahun tersebut.


Ketekalan 
  • Sesebuah perniagaan harus mengekalkan kaedah perakaunan yang telah ditetapkan untuk beberapa tempoh perakaunan yang berterusan.
  • Konsep ini membolehkan perbandingan dibuat.
  • Contoh : Jika kaedah susut nilai aset secara ansuran tetap digunakan untuk menyusutnilai aset, maka ia akan diamalkan secara berterusan untuk tahun-tahun berikutnya.


Materialiti
  • Menurut konsep ini, nilai yang dianggap dapat memberi kesan kepada penyata kewangan akan direkodkan.
  • Nilai kecil yang tidak memberi kesan kepada penyata kewangan dianggap tidak material dan tidak perlu dimasukkan ke dalam penyata kewangan.
  • Contoh : Sebuah buku panduan poskod dibeli dengan harga RM 5 untuk kegunaan pejabat tidak direkodkan sebagai aset dalm penyata kewangan kerana nilainya adalah kecil walaupun ianya boleh digunakan untuk suatu jangka masa yang panjang.



No comments:

Post a Comment